Monday 12 September 2016

Kisah Benar Anak Tinggalkan Ayah yang Uzur di Hospital ketika Raya Haji



9 Zulhijjah 143X H.

"Err...doktor,"

Aku berpaling melihat wajah lelaki muda berkenaan. Kelihatan serba salah di wajahnya. Isterinya di sisi, duduk di samping pesakit di katilnya.

"Boleh tak kalau saya minta tangguh discharge ayah saya, lagi sehari dua?"

Berbisik perlahan suara lelaki muda tersebut. Mungkin tak mahu orang tuanya mendengar. Namun orang tua itu tidak pekak. Beliau mungkin baru diserang strok, tapi beliau tidak pekak. Dan tidak sedikit pun herot mulutnya mampu menyembunyikan riak sedih yang terpancar dari wajah lelaki berusia 80 tahun tersebut. Hiba.

"Eh kalau hendak diikutkan, ayah encik dah tiga hari di hospital. Tekanan darahnya dah stabil, beliau pun sudah boleh makan melalui tiub pemakanan. Cuma tubuh badannya yang lumpuh itu, kita akan rujuk ke bahagian fisioterapi untuk senaman secara berkala. Kita bercadang hendak bagi balik hari ini, supaya pakcik boleh beraya bersama keluarga di rumah."

Aku menjelaskan keadaan pakcik. Anaknya kelihatan serba salah, lantas menarikku pergi jauh sedikit dari katil pakcik.

"Itulah halnya, doktor. Kat rumah sekarang ramai budak-budak, cucu cicitnya, semua pulang ke kampung. Abah pula sebatang kara, mak dah lama meninggal. Saya risau kalau bawa balik hari ini, kami tak ada orang hendak jaga abah di rumah esok, sebab semuanya sibuk beraya. Sebab itu saya dah berbincang dengan adik-adik, biar abah di hospital dulu, nanti dalam hari raya ketiga atau keempat baru kami bawa abah balik. Boleh begitu, doktor?"

Kali ini aku pula yang serba salah. Dan tergamam, juga. Benar, aku faham, menjaga pesakit strok bukannya mudah. Tambah pesakit yang kelumpuhan. Berak kencingnya perlu berbantu. Pergerakannya terbatas pada roda. Makanannya berbancuh susu, melalui tiub.

Tapi esok, hari raya kot. Hari raya.

"Biasanya yang selalu saya berhadapan, pesakit atau keluarga sendiri yang minta dibawa balik kerana nak beraya. Siap sanggup tandatangan risiko sendiri lagi."

Aku memberi respons, sambil kepalaku terjenguk-jenguk melihat keadaan wad. Wad kelihatan agak lengang. Memang apabila menjelang musim perayaan, kita akan cuba expedite (percepatkan) management agar pesakit dapat discharge sebelum hari raya.

Dan dalam masa yang sama, kita juga anticipate kemasukan kes-kes baru yang mendadak menjelang hari raya kedua. Maklumlah, ketika inilah yang kencing manis melantak pulut, yang darah tinggi mentekedarah daging. Hari raya pertama sudah pening-pening, sesak dada, tapi masih mahu bertahan tak mahu susahkan siapa-siapa, tak mahu rosakkan mood raya. Masuk hari raya kedua, tengok-tengok dah tak sedarkan diri. Barulah terkocoh-kocoh waris membawa ke hospital.

"Tolong ikhtiarkan ye, doktor. Kalau doktor discharge ayah saya hari ini pun, tak ada sesiapa yang boleh nak bawa dia balik ke rumah. Saya dan isteri pun kejap lagi hendak menziarah rumah kawan. Adik beradik saya yang lain semuanya sibuk di rumah."

Patutlah melaram semacam aku melihat pasangan ini. Kemas pakaiannya. Orang bandar, baru pulang ke kampung agaknya.

Aku hanya mengangguk, sambil kulihat pada raut wajah lelaki tua tersebut. Aku mengusap dan menggenggam erat tangannya.

***

Allaahu akbar, allaahu akbar, allaahu akbar.
Laa ilaaha illa Allah, wa Allahu akbar.
Allahu akbar wa lillaahilhamd.

Suara takbir aidiladha bergema dari corong pembesar suara masjid, bersebelahan hospital. Aku tiba di wad awal pada hari berkenaan. Cadangnya hendak habiskan round pesakit cepat-cepat agar sempat ke solat sunat aidiladha. Beginilah nasib di perantauan. Hendak pulang ke kampung, jauh. Baik lah aku oncall, setidak-tidaknya terubat rindu ke kampung halaman.

"Pakcik katil 24 yang strok tu, tak ada waris datang ke pagi ini?" Aku bertanyakan jururawat bertugas.

"Dari semalam lagi tak ada, doktor. Feeding dia pun kami yang bagi."

Aku segera menuju ke katil pakcik. Di sudut hujung wad, betul-betul sebelah tingkap.

"Assalamualaikum, pakcik." aku menyapa. Pakcik masih tidak mengalihkan pandangannya. Entah apa yang direnungnya di luar tingkap.

"Assalamualaikum," aku menguatkan salam. Barulah pakcik berpaling.

Dan barulah aku nampak, rupanya air mata beliau, sedang berlinangan.

Allaahu akbar, allaahu akbar, allaahu akbar.
Laa ilaaha illa Allah, wa Allahu akbar.
Allahu akbar wa lillaahilhamd.

***

Berdasarkan kisah benar namun telah diolah kembali. Fenomena "anak tinggalkan ibubapa di hospital" menjelang musim perayaan adalah fenomena yang benar-benar berlaku, realiti yang kami di bahagian perubatan hadapi setiap kali oncall di musim perayaan. Mungkin jumlahnya tidak banyak, namun ada.

Sumber gambar dari Shutterstock.

Hangat Dari Internet Raya:

Related Posts

Kisah Benar Anak Tinggalkan Ayah yang Uzur di Hospital ketika Raya Haji
4/ 5
Oleh